July 10, 2012

Perihal hati



Bismillah.

Perihal hati itu bagi saya, sangat unik dan istimewa. Bila kita mula suka kepada seseorang, kita akan kata kita sudah jatuh hati kepada orang tersebut. Bila kita melihat kezaliman depan mata, kita akan mula menyimpan perasaan benci dan katakan orang tersebut tak ada hati dan perasaan. Kita juga akan katakan tak sampai hati sebagai kata lain untuk menunjukkan perasaan kasihan. Unik bukan. Seolah-olah hati itulah yang menyimpan segala jenis emosi dalam diri kita- benci, sayang, rindu, marah, kepuasan- hati kita seumpama bertindak sebagai karung yang menyimpan isi nya kemas-kemas. Dan bila tiba waktunya karung itu juga akan penuh, mungkin juga akan terkoyak dan dihamburkan juga isinya akhirnya. Begitulah juga hati.


Saya jelas ramai yang suka bila bercakap soal hati. Terutama bab jatuh hati tu ;) Tapi maaf, post ini mungkin tak dapat menjelaskan perkara tersebut.. Post ini, inshaAllahu taala akan membincangkan isu yang lebih kritikal daripada itu.

Pernah dengar IMAN?

Ya, iman. Ketahuilah antara semua perkara/perasaan yang hati ini mampu simpan, iman lah ketuanya. Andai kita mahu hati yang tenang, kuat dan tabah, perhatikanlah paras iman dalam hati kita. Selalu kita dengar orang mengeluh hatinya kosong. Hatinya kering. Dan dia tercari-cari apa sebenarnya yang hatinya benar-benar mahukan.

Saya teringat kisah yang saya baca tempoh hari dalam buku 'Searching For A Job', ditulis oleh Dr Muhammad Abdul Rahman Al-Arifi yang dapat saya terjemahkan kepada lebih kurang begini.

Seorang lelaki datang mengadu kepada Shaykh dan katanya hatinya seolah-olah kosong dan hidupnya tiada erti. Lalu Shaykh itu pun bertanya kepada lelaki tersebut.

"Apabila kamu ingin menyenangkan mata kamu, apa yang kamu lakukan?"


"Saya akan ke pantai dan menikmati pemandangan indah"


"Jika kamu ingin menyenangkan telinga kamu, apa yang kamu lakukan?"


"Saya akan mendengar muzik yang saya sukai"


"Jika kamu ingin menyenangkan fikiran kamu, apakah yang kamu lakukan?"


"Saya akan keluar ke pusat membeli-belah dan menonton wayang."


Begitulah jawapan lelaki tersebut. Lalu Shaykh itu pun bertanya lagi.


"Sekarang, jika kamu ingin menyenangkan telinga kamu, bolehkah kamu ke pantai dan menikmati pemandangan indah?"


Lelaki itu diam dan lantas menjawab,


"Sudah tentu tidak. Ia tidak berkaitan dan tidak masuk akal."


"Dan jika kamu ingin menyenangkan telinga kamu, bolehkah kamu keluar membeli-belah?"

Lelaki itu pun menjawab tidak untuk soalan tersebut. Shaykh itu langsung menyambung.

"Lalu, bagaimana kamu ingin mendapat hati yang tenang jika pintu/laluan untuk sampai ke hati kamu semuanya dari arah yang salah dan tidak masuk akal?"

SubhanAllah.

Saya langsung terfikir. Barangkali kita terlupa bahawa telinga, mata dan anggota badan yang lain semuanya adalah pintu untuk sampai ke hati kita. Maka bila hati kita mahukan sesuatu, sepatutnya kita masuki hati itu melalui pintu yang sebenarnya.

Entah siapa yang mengajarkan, bila hati kita tak keruan, kita haruslah keluar ke panggung-panggung wayang dan keluar membeli-belah. Mungkin juga perlu berkaraoke dan hadiri konsert-konsert artis yang diminati. Namun persoalannya, benarkah itu akan memberi ketenangan? Dan kalaupun kita berasa seronok dan dapat melupakan masalah kita ketika di tempat tersebut, adakah kita kan masih berasa tenang keesokan harinya?

Antara sebab mengapa saya menulis tentang ini adalah kerana saya melihat ramai yang belum jelas dari mana datangnya sumber ketenangan. Lalu mereka cuba memasuki hati mereka melalui pelbagai pintu, dari pelbagai arah tanpa mengetahui apa yang di'feed' kan kepada hati mereka hanya tambah melemahkan lagi hati yang sedia 'fragile' itu..


Dalam Al-Quran, Allah berfirman

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia. (Ar-Ra'd :28)


Maka di sini saya saya sediakan beberapa point untuk bagaimana mengingati Allah dan secara langsung untuk meningkatkan keimanan dan ketenangan hati kita, biidznillah.




1)Zikir pagi dan petang
Selepas solat subuh, jangan terus tidur my dearests. Waktu pagi itu sangat penuh dengan keberkatan. Apa salahnya luangkan 15 minit lagi untuk amalkan zikir daripada sunnah Rasulullah saw. Sedar tak sedar, lepas dah berzikir anda pun tak lagi mengantuk dan boleh sambung kerja lain seperti study, jogging, kemas rumah dan sebagainya. Kalau berkesempatan ke Pustaka Mukmin di Masjid Jamek atau mana-mana kedai buku, carilah buku kecil bertajuk Hisnul Muslim/ Perisai Muslim. Dalam buku  tersebut ada disertakan zikir yang diamalkan Rasulullah saw pada waktu pagi dan petang dan doa-doa yang lain. Kalau tak ada dijual, mungkin boleh maklumkan kepada saya dan inshaAllah akan saya belikan. Kalau tak ada duit nak beli pun boleh beritahu saya. InshaAllah saya boleh beri kepada anda secara percuma :)



Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahnya), dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai. (Al-A'raaf: 205)


2)Moment of solitude
Ketika hati saya tak keruan, selalu saya pastikan saya mempunyai MoS ini untuk 'reshuffle' semula prioriti dan tujuan hidup saya. Pada waktu inilah hati kita benar-benar bersuara, tanpa hiruk-pikuk pusat membeli belah ataupun laungan muzik yang kuat- dan pada waktu inilah kita boleh betul-betul mendengar apa yang hati kita mahukan.. Apa yang saya maksudkan dengan MoS ialah keperluan untuk mengasingkan diri kita daripada orang ramai untuk beberapa ketika. Lawatilah taman-taman rekreasi sambil melihat langit, pokok-pokok rendang dan disapa angin sepoi-sepoi bahasa, atau paling mudah boleh dilakukan di bilik anda sendiri- sambil merenung kipas siling yang berpusing itu, berinteraksilah dengan hati anda, tanya, apakah yang hati anda mahukan? Dan saya yakin jawapannya tidak lari daripada mahu mencari Tuhan, sumber ketenangan itu sendiri..


3)Solat malam
Dan yang paling penting, mintalah kepada Allah sendiri untuk hati yang tenang. Sebagai seorang Muslim, yakinilah bahawa segalanya tak akan dapat tercapai tanpa berdoa kepada Allah. Lalu bangunlah dan mintalah kepadaNya di 1/3 malam terakhir dan ikutilah dengan membaca ayat-ayat cintaNya kepada kita. Ketahuilah bahawa Allah akan turun ke syurga yang paling rendah untuk mendengar rintihan kita pada sepertiga malam yang terakhir itu. Bukankah ia satu kerugian yang besar jika kita terus lena sedangkan Allah sedang menunggu untuk memperkenankan doa kita?


My dear brothers and sisters, biarkan hati anda bersuara untuk kembali ke fitrahnya, untuk mencari Tuhannya. Berhentilah menafikan apa sebenarnya yang hati anda mahukan. Carilah jalan keluar. Apa yang saya tulis hanyalah cadangan dan alhamdulillah ia sangat berkesan kepada saya. Hati saya milik saya, hati anda milik anda. Jadi terpulanglah kepada anda bagaimana mahu mengawalnya dan memandunya ke arah yang dituju.


Dalam satu hadith Qudsi disebutkan,




"Aku dalam sangkaan hamba-Ku, dan Aku akan selalu bersamanya ketika ia mengingat-Ku. Kemudian apabila ia ingat Aku dalam dirinya, Aku pun mengingatnya dalam diri-Ku, dan jika ia ingat kepada-Ku dalam satu kaum, maka Aku akan mengingatnya dalam kaum yang lebih banyak dari pada kaum itu. Jika ia mendekat kepada-Ku sejengkal, Aku akan mendekatinya sehasta. Jika ia mendekati-Ku satu hasta, Aku akan mendekatinya sedepa. Dan jika ia datang kepada-Ku dengan berjalan kaki, aku akan datang kepadanya dengan lari-lari kecil." (Riwayat Bukhari dan Muslim)




SubhanAllah. Hebatnya kasih sayang Allah. Saya doakan Allah sentiasa akan tunjukkan jalan kepada siapa yang sedang mencariNya. I've searched for Him and I've found Him alhamdulillah. And soon, you will too. I totally believe that. InshaAllah :)





IZ: Dan untuk saya lebih mengenali hati saya ini, inshaAllah hujung minggu ni saya akan menyertai Heart Therapy course yang disampaikan oleh Shaykh Yahya Adel Ibrahim daripada Al-Kauthar Institute. Info selanjutnya di sini. Tak sabar nak pergi. Siapa yang berkesempatan, ayuhlah! :)










0 comments:

About Me

25. Aim to live with the principle of to love for others what I love for my self. A dentist by profession. A Muslim by religion. A Dai'yah by action ( well at least that's what I hope I am) My writings are usually of reflections on matters happening around me.

Recent Posts

Followers