Sedih. Bila soal agama dan semangat kebangsaan kita semakin dicabar akhir-akhir ini, membuatkan saya terfikir apakah langkah terbaik bagi saya, seorang muslim dan seorang rakyat Malaysia untuk menghadapi permasalahan seperti ini. Isu ini adalah isu global, maka kita sebagai ahli masyarakat tidak dapat tidak, mesti bersedia menghadapi dan membincangkannya.
Di Indonesia, sentimen anti-Malaysia semakin memuncak sehingga wujudnya aktiviti 'sweeping Malaysia' yang giat dijalankan penduduk di sana. Terfikir juga saya, apakah mereka punya begitu banyak masa lapang untuk meng'sweep' rakyat Malaysia di sana. Ada baiknya mungkin sesi itu digantikan dengan berusaha mencari rezeki untuk keluarga masing-masing ataupun maningkatkan amal ibadah dan jariah memandangkan sesi ini mula dilakukan pada Ramadhan tempoh hari.
Kalau diikutkan, saya bukanlah seorang yang semangat patriotiknya begitu menebal sekali. Tak pernah pula saya mengikuti perarakan kemerdekaan di peringkat daerah apatah lagi di peringkat kebangsaan. Saya juga belum lagi berjuang bermati-matian mempertahankan negara. Cumanya, sebagai seorang yang dilahirkan di Malaysia dan dibesarkan sebagai rakyat Malaysia, maka cukup wajarlah saya kira untuk melahirkan rasa kesal dan sedih atas sikap mereka ke atas negara kita.
Isu-isu yang ditimbulkan sebenarnya agak remeh untuk dibincangkan. Terbaru, mereka berang dengan isu tarian pendet masyarakat Bali yang dipaparkan dalam iklan mempromosi Malaysia di peringkat antarabangsa. Walaupun sudah dijelaskan oleh pihak Discovery Channel yang sebenarnya mereka tersilap dan tidak melakukan kajian menyeluruh sewaktu memproses iklan itu, kelihatan penduduk di sana masih belum berpuas hati.
Sebelum isu tarian pendet, banyak juga isu yang dibangkitkan mereka seperti kes Cik Puan Mano, kes penderaan amah, dan kebayakan isu mengenai budaya mereka yang katanya telah dicedok oleh Malaysia. Tentang kes Cik Puan Mano, saya tak tahu banyak mengenai hal itu memandangkan penyiasatan pun masih lagi berjalan sekarang. Tentang kes penderaan amah, saya kira seluruh Malaysia ini menentang sekeras-kerasnya penderaan yang dilakukan majikan ke atas amah tersebut. Kerana hakikatnya, amah itu telah pun dibela dan majikan itu pun telah dikenakan tindakan. Agak hairan ya, media di sana sibuk untuk memanjangkan isu amah yang didera tapi tak pula memaparkan usaha kita membanteras masalah-masalah dan membela amah-amah tersebut. Isu budaya yang dicedok? Sepatutnya itu bukanlah permasalahan pokok yang harus ditimbulkan. Kita berkongsi rumpun yang sama, kita seharusnya sedar pemisahan antara negara tidak dapat menjadi benteng pemisah berkembangnya sesuatu budaya. Orang Jawa dari kepulauan Jawa sebagai contoh, yang berhijrah ke Tanah Melayu sudah tentu membawa budaya mereka bersama-sama mereka. Kita akui budaya itu dari kaum-kaum tertentu, tapi tidak semestinya dari negara itu kerana budaya dari sesuatu kaum itu bisa tersebar merentasi negara dan benua.
Apa yang lebih menghairankan, kebencian orang di sana terhadap kita secara tiba-tiba meletus. Seumpama ada sesuatu yang menghasut mereka untuk membenci kita setelah apa yang kita lakukan untuk membantu membangunkan ekonomi mereka. Yang lebih menyedihkan, muslim sesama muslim antara dua negara ini pun mula bercakaran dan saling membenci. Banyak blog yang dicipta untuk mengutuk, tak kurang juga groups yang wujud di facebook untuk menyemarakkan lagi api kebencian sesama kita. Dalam Al-Quran, Allah berfirman:
Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. Al-Hujurat:10
Alangkah indahnya dunia jika semua muslim di dunia berpegang dengan ayat ini. Sudah pasti aktiviti sweeeping Malaysia, membakar bendera Malaysia dan membuat demonstrasi di depan kedutaan Malaysia tidak akan terjadi. Malangnya, semangat kebangsaan mereka seolah-olah dimanipulasi untuk melebihi semangat cintakan agama dan sesama saudara muslim.
Saya tidak mengatakan Indonesia salah. Saya juga tidak mengatakan Malaysia di pihak yang betul. Tapi satu perkara yang saya benar-benar pasti, perasaan benci membenci ini tidak akan membawa kita ke mana-mana. Sebaliknya kita haruslah bersatu, bersedia menentang musuh-musuh Islam yang tidak pernah berhenti menjatuhkan deen ini. Di Eropah sebagai contoh, lihatlah betapa banyak dugaan yang terpaksa dihadapi oleh saudara kita di sana. Larangan memakai hijab, larangan membina masjid, dan terbaru adalah agenda mereka melancarkan 'stop Islamization of Europe' betul-betul menyesakkan nafas saudara kita di sana. Dan kita di sini masih berkelahi atas isu perebutan tarian?
Mungkin sudah sampai masanya kita menjadi dewasa, sedewasanya umur negara kita yang 52 tahun ini. Api yang dimarakkan mereka, bukan api balasannya dari kita. Tapi alhamdulillah, student Malaysia di sana dengarnya tak cepat melatah dengan kerenah penduduk di sana. Baguslah. Yang tak bestnya, bila agaknya dapat ke Indonesia lagi; makan ikan gurami, pisang salai, jus sirsak (betul ke eja ni?), shopping busana muslimah yang murah-murah.. aish~
IZ: Maaf andai ada yang tak setuju dgn pendapat di atas. I seek Allah's forgiveness for every incorrect things I said, for Allah is the one who is perfect among all. Peace!
0 comments:
Post a Comment