August 23, 2011

Antara saya dan da'wah

Bismillah

Dahulu sewaktu saya kecil, tak pernah terlintas pun di fikiran saya untuk menjadi pendakwah. Bunyi nya saja macam agak ngeri dan menakutkan. Sebagai kanak-kanak, yang terlintas di fikiran ketika sebut pasal pendakwah adalah gambaran pakcik-pakcik berjubah putih dan garang pula riak wajahnya. Tiada wajah ceria, tiada cerita lucu untuk kanak-kanak.


Sungguh, begitu jahilnya saya tentang definisi dakwah itu sendiri. Namun, itu hanya sewaktu saya masih lagi kecil dan seperti yang saya nyatakan, jahil, tidak tahu.


Masa berlalu. Kini, saya bukan lagi anak kecil. Alhamdulillah, kini ilmu saya juga semakin bertambah. Terlalu ramai sudah insan-insan hebat yang saya temui merupakan pendakwah-pendakwah tegar dan istiqamah. Dan mereka bukanlah pakcik-pakcik berjubah yang garang, tetapi wajah-wajah mereka lembut dan tenang kebanyakannya, juga dari pelbagai latar belakang dan dari pelbagai lapisan umur. Dan apa yang menyatukan mereka tidak lain adalah kerana satu misi, iaitu bersama-sama menyampaikan risalah dakwah kepada masyarakat.

Dalam Al-Quran Allah berfirman:

"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebagian mereka (adalah) menjadi penolong sebagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma'ruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan shalat, menunaikan zakat dan mereka ta'at kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana".[At-Taubah:71]



Dengan pelbagai serangan pemikiran yang berlaku hari demi hari, mampukah kita untuk bertahan melihat saudara-saudara kita makin lama makin lemah jati dirinya, makin suram cahaya keimanannya? Mendepani dada-dada akhbar kini hanya seperti menyelak buku cerita ngeri dan menyesakkan nafas, cuma yang bezanya cerita ngeri ini seolah-olah tiada penghujung. The iman, sadly, is dying while the ummah is now suffering. Maka ayuhlah kita bersama-sama menyebarkan risalah Al-Haq ini, mengajak mereka yang jauh supaya kembali ke fitrah. Kata Rasulullah.. sampaikan daripada baginda walau hanya sepotong ayat.. sepotong ayat, adakah begitu sukar untuk menyebarkan sepotong ayat itu?


Peluang beriktikaf di masjid UIA pada malam ke-21 adalah satu rahmat kepada saya. Ketika jam 3.15 pagi, mata saya sudah terlalu berat dan meminta untuk direhatkan sebentar. Memandang ke kanan, pandangan saya disambut oleh senyuman seorang jemaah wanita berbangsa Arab yang selepas itu terus tekun dengan hafalan Al-Qurannya.


Dalam hati saya senyum sendiri, kalau tidak kerana Rasulullah saw, para sahabat dan alim ulama yang begitu bersungguh-sungguh berdakwah ke serata dunia, mana mungkin kami di sini, di bawah satu bumbung yang sama, sama-sama berbalas senyuman dan berusaha meraih redha yang Esa.. dan tidur saya di malam itu walau hanya bertilamkan karpet nipis, adalah tidur yang sangat nyenyak saya kira kerana ia bersulamkan harapan. Ya, harapan bahawa saya dan ramai rakan-rakan saya yang lain terus tsabat di jalan dakwah ini demi menghasilan jiwa yang rindukan cinta dan rahmat Ilahi juga dapat menghasilan produk-produk mukmin yang sejati. Perkenankanlah, Ya Rabb.

0 comments:

About Me

25. Aim to live with the principle of to love for others what I love for my self. A dentist by profession. A Muslim by religion. A Dai'yah by action ( well at least that's what I hope I am) My writings are usually of reflections on matters happening around me.

Recent Posts

Followers